salam ramadhan karim!

Assalamualaikum...wbrktuh,

Firman Allah swt:
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Al-Baqarah:183)

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

Dikesempatan bulan yang penuh kerahmatan , kemuliaan, dan keampunan ini, marilah sama-sama kita jadikan madrasah tarbiyah yang penuh bermakna selaku khalifah Allah, yang taat dan patuh segala suruhanNya..Rebutlah peluang keemasan yang berganda-ganda untuk mendapat titian ke syurgawi..

Jadikan pentarbiyahan diri dalam bulan ini, sebagai tarbiyah yang akan membina jati diri yang lebih bertaqwa untuk utuhkan lagi jiwa dan rohani sebagai penerus jalan kehidupan yang seterusnya, yakni bukan sahaja kita mengimarahkan pengabdian diri dibulan ini sahaja, malah ia menjadi salah satu perkara atau amalan yang berterusan bagi memantapkan lagi keimanan dan ketqwaan kita kepada Allah SWT..


Untuk mengimarahkan lagi dibulan ramdhan ini, antara doa yang paling baik kita boleh amalkan sepanjang bulan ramadhan iaitu;
Doa Paling Afdal Dibulan Ramadan
“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Sesungguhnya puncak keistimewaan luar biasa bulan ini juga adalah apabila diturunkan satu malam, Lailatul Qadar (malam kemuliaan) sebagai Malam kemuliaan yang lebih baik daripada seribu bulan (Surah al-Qadr, ayat 3). Sesiapa sahaja yang berpuasa pasti amat berhasrat untuk menjumpainya. Bila Lailatulqadar itu muncul?

Lailatulqadar ini diyakini akan muncul pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, terutamanya di malam-malam yang ganjil. Perkara ini dapat kita semak dari sebuah kisah Siti Aisyah r.a: Bila telah masuk sepuluh terakhir dari bulan Ramadan, Rasulullah s.a.w. mengikat kuat kainnya (menambah kesungguhan ibadatnya), menghidupkan malam (dengan banyak berzikir dan bermunajat), membangunkan keluarganya (untuk ikut bertaqarrub kepada Allah) (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kesungguhan Rasulullah melakukan ibadat pada malam sepuluh terakhir bulan Ramadan dapat kita semak dari hadis berikut, seperti diceritakan Siti Aisyah r.a.: Beliau (Rasulullah s.a.w.) beribadat hingga menjelang subuh (Hadis riwayat Muslim).

Apa sebenarnya terdapat pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan itu sehingga Rasulullah begitu tekun meningkatkan kuantiti (bilangan rakaat) dan kualiti (kekhusyukan dan tawaduk) ibadatnya di malam-malam tersebut?

Tekun dan khusyuknya Rasulullah beribadat pada malam sepuluh terakhir bulan Ramadan tidak terlepas daripada keinginan baginda untuk menemui malam Lailatulqadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Perkara ini amat jelas terakam dalam ayat berikut: Sesungguhnya Kami turunkan ia (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatulqadar). Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Ketahuilah bahawa malam kemuliaan itu adalah lebih baik dari seribu bulan (83 tahun 4 bulan). (Surah al-Qadr, ayat 1-3).

Lailatulqadar adalah malam kemuliaan yang memiliki nilai lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa sahaja yang beribadat di malam itu adalah lebih baik nilainya dengan beribadat selama 83 tahun empat bulan. Usia purata manusia yang hidup di akhir zaman ini sangat jarang yang mencecah angka 70 tahun, apatah lagi 80 tahun dan seterusnya. Bahkan usia Nabi Muhammad adalah 63 tahun sahaja. Berapa lamakah usia kita?

Pernahkah kita terfikir untuk mampu beribadat kepada Allah selama 83 tahun? Mungkinkah ia berjaya dicapai? Rasanya sangat sukar untuk melakukan perkara itu, mengingat keadaan dalaman kita (iman yang turun naik) dan pengaruh luaran (kecenderungan berbuat maksiat dari pelbagai aspek kehidupan yang kita hadapi setiap masa). Pendek kata, Lailatulqadar adalah malam yang bernilai lebih baik daripada 1,000 bulan. Ia sentiasa datang di setiap sepuluh terakhir dari bulan Ramadan.Di kesempatan emas ini janganlah kita biarkan berlalu begitu sahaja. Jadi, Rebutlah peluang yang masih ada ini, untuk kita sama-sama perbaiki diri supaya diri kita mendapat tarbiah yang terbaik didalam bulan ini, bagi menjadikan hidup kita lebih bermakna dan bersistematik dalam pengabdian diri kepadaNya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS